AA Teguh, MRA Kedah laksana ibadah korban di Taman Sejahtera
BEDONG, 1 Jun – Pasar Raya AA Teguh dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) Kedah telah melaksanakan Program Ibadah Korban 1447H/2026M di Taman Sejahtera, di sini, sempena sambutan Aidiladha.
Program tersebut menyaksikan seekor lembu korban disembelih sebelum dagingnya diagihkan kepada penduduk setempat, khususnya golongan yang memerlukan.

Taman Sejahtera yang dihuni kira-kira 200 keluarga Islam dipilih sebagai lokasi program bagi memastikan lebih ramai penduduk dapat menikmati manfaat serta keberkatan ibadah korban yang dilaksanakan.
Selain pengagihan daging korban, Pasar Raya AA Teguh turut menyampaikan sumbangan kepada Surau Taman Sejahtera sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh aktiviti keagamaan dan kebajikan dalam komuniti setempat.
Wakil penganjur berkata, program berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan AA Teguh dan MRA Kedah dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta menyantuni masyarakat melalui pelbagai aktiviti kebajikan.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menunaikan ibadah korban, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara sukarelawan, penduduk dan organisasi yang terlibat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan, penduduk setempat dan MRA Kedah yang berganding bahu menjayakan program tersebut dari awal hingga selesai.

Menurutnya, semangat kerjasama yang ditunjukkan membuktikan nilai kebersamaan dan keprihatinan masyarakat terus kukuh dalam membantu golongan yang memerlukan.
Program berkenaan diharapkan dapat memberi manfaat kepada penerima serta menjadi asbab keberkatan kepada para peserta korban, penyumbang dan seluruh komuniti yang terlibat.
“Korban Membawa Berkat, Kebajikan Mengukuhkan Ummah.”
